PETALING JAYA: Pasangan pelakon Aeril Zafrel, 25, dan Wawa
Zainal, 22, memohon maaf kerana mengambil langkah menipu peminat dan pihak
media mengenai status hubungan mereka yang sebenarnya sudah menjadi suami
isteri sejak tahun lalu.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari,
berkata, mereka menyesal kerana tidak mendedahkan berita berkenaan lebih awal
sehingga rahsia berkenaan menjadi bocor dan dilaporkan oleh pihak media.
"Saya memohon maaf kerana merahsiakan
perkara ini. Pada perancangan asal, kami ingin mengumumkan status perhubungan
ini dua tahun lagi iaitu selepas Wawa menamatkan kontraknya dengan Metrowealth
International Group (MIG) pada tahun 2015.
"Jadi saya menghormati permintaan Wawa
untuk merahsiakan perkara ini kerana takut dimarahi pihak pengurusan. Tetapi
tidak sangka pula perkahwinan kami dilaporkan lebih awal," katanya dalam
satu majlis yang diadakan di restoran Western 114 di Neo Damansara, di sini
petang Jumaat.
Dalam majlis itu, kedua-dua pasangan ditemani
bapa Wawa iaitu Zainal Abidin Sulong, pengurus Aeril, Shahriman Wahab dan
peguam, Zulhasmi Zakaria.
Majlis yang dipenuhi pihak media itu agak
tegang apabila Aeril pada mulanya banyak berkias dalam memberikan setiap
jawapan sehingga sikapnya itu ditegur oleh para wartawan
.
Aeril mengaku sedih apabila anaknya dianggap
sebagai anak tidak sah taraf gara-gara sembunyikan pernikahan.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal
Abidin pula pada majlis itu tampil bertudung litup menjawab setiap persoalan
dengan berterus terang namun ada beberapa masa air matanya bergenang selepas
diasak pelbagai soalan.
Dalam pada itu, pasangan berkenaan berkata
tujuan mereka menyembunyikan status pernikahan itu adalah berpunca daripada
peraturan MIG yang melarang artis naungan syarikat itu untuk bercinta.
Untuk rekod, Aeril pernah menjadi artis MIG
tetapi mengambil keputusan untuk keluar sebelum tamat kontrak kerana ingin
mendalami ilmu agama Islam selain mengambil keputusan untuk berdikari.
Dalam sidang media berkenaan Aeril mendedahkan
mereka telah bernikah sebanyak dua kali masing-masing pada 25 Februari 2012 dan
4 Februari lalu di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya di sini.
Pernikahan kali pertama dibuat tanpa
didaftarkan dengan pejabat agama tetapi terpaksa melangsungkan akad nikah kali
kedua untuk menghormati permintaan keluarga perempuan sebelum ia didaftarkan
secara rasmi. Hasil perkahwinan itu mereka telah mendapat anak yang lahir pada
24 Ogos lalu dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.
mStar Online menyiarkan jawapan Aeril dan Wawa berhubung kontroversi
berkenaan serta penjelasan David Teo yang dituduh menjadi punca perkahwinan itu
terpaksa dirahsiakan.
........................................................................................
AERIL: Saya kenal Wawa pada tahun 2010 ketika sama-sama membintangi
filem Klik pada 2010 dan selepas itu kami mula bercinta tetapi dihalang
oleh pihak pengurusan MIG. Dan kerana itu apabila pihak media dapat menghidu
perhubungan ini kami tidak mengaku bercinta.
Kemudian pada tahun 2011 banyak hal berlaku
termasuklah saya menerima penyakit keturunan dan selepas itu barulah saya
mendekatkan diri kepada Tuhan. Selepas itu pada 2012 saya terus berjumpa bapa
Wawa meluahkan hasrat untuk menikahi Wawa. pada masa sama saya tahu kami tak
boleh kahwin sebab akan dimarahi pihak pengurusan. Ye lah sedangkan kami tidak
boleh bercinta, apalagi berkahwin.
Maka saya membuatkan keputusan untuk
menghalalkan perhubungan ini dengan menikahi Wawa pada 25 Februari 2012 di
rumah pengurus saya, Shahriman, mengikut syariat Islam, bukan undang-undang
negara. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini sudah terjawab.
Mengenai penyakit misteri yang dialami Wawa
sehingga terpaksa pulang ke kampung di Lahat Datu, Sabah seperti yang dikatakan
itu bohonglah?
WAWA: Tidak! Penyakit misteri itu memang betul. Demi Allah, saya dan
adik beradik terkena sihir pada awal tahun ini. Jika ada yang menuduh kononnya
saya cuba menutup rahsia perkahwinan dengan penyakit misteri, itu tidak benar.
Bagaimanapun Alhamdulillah saya sudah kembali pulih.
Tentang anak pula, apa komen kalian?
AERIL: Setiap pasangan pasti akan diberikan anak. Begitu juga dengan
kami. Selepas mendapat tahu Wawa mengandung, saya memutuskan untuk menikah
sekali lagi pada 4 Februari 2013 di Masjid Jumhuriah, Taman Dato' Harun,
Petaling Jaya dan kali ini mengikut undang-undang pula kerana risau anak kami
nanti tidak boleh berbinkan nama saya. Dan Alhamdulillah anak kami lahir pada
24 Ogos lalu dan butirannya sama seperti berita yang dilaporkan.
Wawa Zainal kelihatan sedih dengan insiden yang
terjadi.
Kenapa nikah dua kali?
AERIL: Sebelum ini kami nikah kerana mahu menghalalkan hubungan.
Bukankah kita perlu mendahulukan agama? Kerana jika diikutkan syariat, kami sah
sebagai suami isteri.
Kiranya kalian melanggar undang-undang pada
mulanya?
AERIL: Kami mahu menghalalkan hubungan sahaja dan mengikut syariat.
Cuma tidak didaftarkan sahaja.
Kenapa ambil masa setahun, kemudian baru nak
daftar?
AERIL: Kerana Wawa sudah mengandung dan saya perlu memikirkan masa
depan anak saya.
Kenapa tipu apabila wartawan tanya tentang
perhubungan kalian?
AERIL: Saya nafikan perkara ini kerana hormat permintaan Wawa. Dia
takut dimarahi MIG. Sebab itu kami terpaksa rahsiakan. Lagi pun memang kami ada
rancang untuk memberitahu hubungan ini selepas tamatnya kontrak Wawa dengan MIG
pada 2015. Tetapi ia dibongkar terlebih dahulu oleh pihak media. Sekarang ini
saya rasa seperti dalam peperangan ketika menghadapi situasi ini.
WAWA: Macam ini, kami meminta maaf kepada semua kerana penafian ini.
Apa yang dilakukan semuanya bersebab.
DIKUARANTIN PIHAK MIG
Kenapa nak takut dengan David Teo (Ketua
Pegawai Eksekutif MIG) pula?
WAWA: Kamu semua tidak tahu bagaimana cara pengurusan MIG. Memang
saya takut dimarahi David. Mereka pernah kuarantin saya selama sebulan
semata-mata mahu menghalang saya berjumpa dengan Aeril. Dan bukan senang untuk
saya keluar daripada MIG.
Jadi kontrak sekarang macam mana?
WAWA: Saya masih mahu meneruskan karier lakonan, tetapi tentang
kontrak saya tak pasti.
Sebelum ini Wawa kata kena sihir dan pada masa
sama Wawa mengandung. Macam mana pula ceritanya itu?
WAWA: Saya terkena sihir ketika bulan Mac (2013) dan masa itu memang
sedang mengandung. Alhamdulillah penyakit saya itu sudah sembuh sebelum
melahirkan anak lagi.
Menyesal kerana tidak mendedahkan perkara ini
lebih awal?
AERIL: Ya saya menyesal kerana tidak mendedahkan status perhubungan
ini lebih awal dan pada masa sama tertanya-tanya apakah tujuan wartawan itu
mendedahkan hal kami? Mengaku atau tidak, itu hak kami untuk memberitahu.
Saya sedih apabila banyak tohmahan dilemparkan
kononnya anak saya tidak sah taraf. Apabila tengok anak sedang tidur, saya
menangis sedih kerana anak itu dianggap anak haram. Saya tak kisah diri ini
dihina, tetapi disebabkan pihak itu mendedahkan anak saya tanpa kebenaran,
buatkan saya sedih.
David Teo
DAVID TEA NAFI HALANG CINTA AERIL & WAWA
Sementara David Teo yang dihubungi pula
menafikan dakwaan pihaknya tidak memberi kelonggaran kepada artis naungan
mereka berkahwin.
Katanya, walaupun dalam kontrak menjelaskan
seseorang artis di bawah jagaan MIG dilarang bercinta, tetapi mereka tetap
memberi kelonggaran sekiranya artis tersebut mengesahkan status masing-masing.
Adakah benar David menghalang cinta Aeril dan
Wawa?
DAVID: Saya menafikan sekeras-kerasnya. Memang dalam kontrak kami
tidak membenarkan artis bercinta. Tetapi mereka boleh membuat pengesahan kepada
pihak pengurusan sekiranya mereka sudah berkahwin.
Kami membuat perkara ini bagi menjaga maruah
artis itu dan untuk mengelak perkara yang tidak diingini seperti ditangkap
khalwat selain menjaga nama baik syarikat, itu sahaja. Cuba lihat artis-artis
sebelum ini seperti Lisa Surihani, Farid Kamil dan terbaharu, Diana Amir,
mereka semua membuat pengesahan dengan pihak syarikat mengenai status diri
masing-masing.
Adakah benar MIG sendiri pernah mengkuarantin
Wawa?
DAVID: Tidak mungkin! Itu tuduhan mengarut. Jika benar di kuarantin,
macam mana Wawa boleh menyelinap keluar daripada kediaman yang pihak MIG
sediakan untuk berjumpa dengan Aeril? Dan jika di kuarantin, maka mereka tidak
mungkin boleh ada anak, bukan?
Dalam situasi sekarang ini, adakah David masih
menerima Wawa sebagai artis MIG?
DAVID: Setakat ini dia tidak melanggar kontrak. Cuma dia tidak
membuat pengesahan mengenai statusnya sebagai isteri dan ibu. Ya, saya masih
menerimanya kerana kejelitaannya yang dilihat boleh pergi jauh dalam industri
seni tempatan.